gravatar

Melayu.

Terbaca dari blog Wardina, hati saya tersentuh untuk mengemaskini blog.

Saya pun Melayu.

Sedikit berbeza dengan Wardina yang katanya keliru bangsa dirinya ketika kecil, saya pula sangat jelas dengan bangsa saya.

Mempunyai bapa seorang polis, saya tidak berkesempatan menikmati rumah kampung, sebaliknya rumah berek polis itulah rumah saya. Namun kerana saya membesar di kalangan masyarakat kampung, sikit sebanyak kenangan itu ada.

Memancing puyu, haruan sampai sekali tu terpancing ular air.
Ponteng sekolah agama dan mandi di tali air sawah.
Memanjat pokok dan makan jambu batu isi merah dengan asam kecut.
Curi buah pulasan di kawasan kubur di karangan masjid.
Baling burung terkukur dengan pisau buatan sendiri di kawasan sawit.
Beria ia kayuh basikal lebih 3 km untuk pergi lawan bolasepak dengan team kampung sebelah berpengadilkan wak beca yang kena bayar RM 3 utk 1 perlawanan.

Itu semua kenangan yang tersimpan kemas di ingatan saya.
Mana Melayunya?

Terus terang saya katakan ntah!

Mungkin melayunya ialah kerana saya berkawan dengan melayu. Saya sertai majlis orang melayu seperti adat meminang, kahwin, cukur jambul, marhaban. Macam mana pula dengan kacau dodol, belajar silat, gaya bahasa bercakap (loghat) ...

Atau adakah sebab darah saya Melayu? Darah saya B positive. Bukan darah Melayu. Darah Melayu secara literalnya, tidak ada. Darah Bombay ada.


Bangsa Melayu bangsa beradab.
Bangsa Melayu bangsa cakap berlapik.
Bangsa Melayu pemegang amanah.
Bangsa Melayu bangsa yang percayakan hidup muafakat, bantu membantu.
Bangsa Melayu bangsa yang taat ketua.
Bangsa Melayu bangsa yang hormatkan orang tua.
Bangsa Melayu bangsa mengutamakan maruah.
Bangsa Melayu bangsa yang menuntut jiwa yang sabar dan tenang.
Bangsa Melayu bangsa yang berani kalau haknya di cabar.
Bangsa Melayu bangsa yang merendah diri pula kalau di puji.
Bangsa Melayu bangsa yang sanggup beralah demi kepentingan semua pihak.
Bangsa Melayu bangsa yang menjunjung tinggi nilai agama.
Bangsa Melayu bangsa yang sanggup merunduk untuk belajar.

Itu antara yang saya tau sebagai bangsa Melayu.

Eh eh, bukan semua bangsa macam tu ke? Ada ke bangsa yang mahukan pecah belah?
Jadi faktor faktor tersebut bukan lah Melayu sebenarnya.

Justeru itu, siapa sebenarnya Melayu?

Hanya bangsa. Tidak lebih dari itu.

Yang lainnya saya percaya adalah nilai kemanusiaan sejagat. Hanya cara sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan (adat) menjadikan setiap bangsa itu unik. Cara berpakaian, cara cakap antaranya.

Jadi perjuangkanlah nilai kemanusiaan sejagat. Bukan bangsa.

Anak anak tetap anak anak biar apa pun bangsanya.
Orang miskin tetap orang miskin, biar apa pun bangsanya.
Golongan teraniaya, tetap teraniaya, biar apa pun bangsanya.

Kurang kah Melayu saya bila saya kata macam tu?

Saya suka bangsa Melayu.
Saya pun Melayu.
Itu bangsa saya.
Sudah terang lagi bersuluh.

Tak sungguh tak melata, tak sungguh orang tak kata.
Malaysia ini dulu namanya Tanah Melayu.
Tuk nenek dulu dah berjanji hidup bersama sama antara kaum di Tanah Melayu.
Sejak dulu lagi, bangsa lain dah setuju yang tempat ini Tanah Melayu, dan iktiraf hak hak melayu - termaktub dalam perlembagaan yang di persetujui semua.

Kata Profesor, tak ada istilah kontrak sosial. Itu perlembagaan.

Adil ke, tak adil ke.. dah janji kan? Dahlah...
Kenapa nak bakar api perkauman lagi sekarang? Melayu pun sama. Nak hunus keris bagai.. apa hal?

Kalau yang korup itu pemimpin, salahkan dirinya, bukan bangsanya.
Kalau yang makan rasuah tu pegawai kerajaan, salahkan dirinya, bukan bangsanya.
Kalau yang menindas dan ambil hak orang lain, salahkan orang itu, bukan bangsanya.
Kalau yang tidak boleh terima hakikat perlembagaan? Salahkan orang itu, bukan bangsanya! Ramai lagi yang sebangsa dengannya yang tidak sependapat dengannya! Jangan cepat nak salahkan bangsa!

Saya beli barang runcit di kedai cina, makan roti canai di kedai mamak, gunting rambut di kedai india.. Ok aja. Tak kecoh apa pun?

Tak ada pulak terfikir, cina tu nak bubuh racun tikus dalam makanan ringan saya beli kat kedainya. Atau mamak nak bubuh racun dalam kari dal, atau india nak gunting rambut saya tu, hiris saya dengan pisau cukur...

Kita hidup aman damai. Man man maa!
Sudah sudahlah...

Pergi layan cerita arwah Yasmin Ahmad lagi bagus.

Secebis dari blog wardina:

bangsa berjaya adalah bangsa yang berubah dengan keadaan, bukan menuntut sesuatu hak keistimewaan dan terus mahu bertongkat...tiada bangsa yang akan berjaya jika terus bersikap begitu ... "Ilmulah yang akan menukar nilai pandangan" kata zaid ibrahim..... cari lah ilmu, luaskankan minda dari fikiran sempit selama ini....


Selamat Menyambut Tahun Baru 2010!
Dari MANUSIA berbangsa Melayu.

Layan bukansepet, layan.