gravatar

Fokus yang indah.



Terbabas

Hampir hampir sahaja Dr. Fadzilah Kamsah men'terbabaskan' saya untuk lewat ke pejabat pagi ini. Haha.

Kelibatnya di TV3 pagi tadi bersama team MHI Wardina dan Fitri cukup bersahaja tapi begitu berilmiah. Ni baru pakar motivasi!

Fokus yang indah.

Untuk jadi cemerlang dan bahagia, fokus yang indah dalam hidup. Bukan menidakkan semua yang buruk, buruk jadikan sempadan. Jadikan peringatan. Tapi untuk maju ke depan, fikir positif dan fokus pada yang indah-indah, adalah antara kata kunci Dr. pagi ini.

Saya fikir itu benar. Fokuslah pada keletah anak anak kita. Fokuslah pada senyuman isteri kita. Fokuslah pada sarapan yang disedakan pagi hari oleh isteri kita. Sebenarnya kita bahagia. Cuma lazimnya kita terlalu fokus pada benda remeh, menjadikan kita stress dan rasa jiwa kita kacau dan tak bahagia. Atau kita terlalu fokus pada masalah dunia yang di luar lengkungan keupayaan kita. Bagus untuk membantu, tahniah! tapi janganlah pula sampai yang di kejar tak dapat, yang di kendung berciciran. Saya tahu. Bagaimana? Sekurang kurangnya 2 kes berlaku dalam keluarga saya yang menyebabkan saya tahu perkara sebegini.

Angkara nak 'betulkan' dunia.(tapi tak kena cara)

Kes 1: Abang ipar saya bercerai dengan isterinya, hanya kerana isterinya terlalu fokus rumah kebajikan yang di bukanya, khas untuk menjaga remaja remaja yang mengandung anak luar nikah. Tiada apa yang salah tindakan isterinya. Sangat mulia. Isterinya disanjung semua pihak. Termasuk kami ipar duai. Tapi benarlah. Terlalu fokus, anak anak ke sekolah tanpa sarapan. Anak anak lebih senang mengadu masalah pada kawan. Rasa tersisih. Rasa terabai. Abang ipar saya, cuba bertahan. Hingga jejak 10 tahun usia perkahwinannya. Abang pernah kata, makan pun macam anak kucing. Kadang ada makan, kadang tak ada. Baik makan kat restoran aja yang dah tentu ada. Baju pun di gosok sendiri. Basuh? Dobi. Ini yang dapat kami perhatikan pada abang. Tapi akhirnya, bercerai. Sebab tidak dinyatakan, tapi saya percaya tidak dapat tidak faktor keluhan itu antara puncanya. (Selepas itu isterinya ingin rujuk dan mengaku kesilapannya, tapi hati abang saya sudah mati. Kini dah kahwin lain dan bahagia.)

Angkara ibarat melepaskan anjing tersepit.


Kes 2: Kakak ipar saya. Di kurniakan Tuhan lebihlah sedikit rezekinya. Tekadnya bulat, mencari fakir miskin dan dibantu secara bulanan. Tapi akhirnya? Yang di bantu tidak mahu sedar bahkan mula mengambil kesempatan. Tersentak kakak ipar saya cepat sedar dan mula melihat di kalangan keluarga sendiri. Oh, ada anak buah nak sambung belajar tapi tak cukup duit. Ada ipar duai bergaji kecil, anaknya ramai, tidak pernah cerita hal kesusahan mereka hingga makannya pun bercatu. Ada anak buah tersadung skim MLM durjana. Akhirnya hutang menambun, terpaksa gigih sana sini cari rezeki tambahan sebab duit gaji dah habis bayar hutang. Dah betullah salah mereka, tapi anak anak nya? Sampai ke hati kita lihat aja. Walau yang di hulur itu sedikit bukan 'memanja', alangkah syukurnya. Kini kakak ipar saya fokus untuk bantu keluarga dulu, baru jiran sekampung, barulah dunia kalau mampu.

Kesimpulannya.

Sangkut Noh pada isterinya.
Sangkut Yunus pada isterinya.
Sangkut Yusof pada adik beradiknya.
Sangkut Ibrahim pada anaknya Ismail.
Sangkut Musa pada bapanya.
Sangkut Isa tanpa bapanya.
Sangkut Muhammad pada bapa saudaranya.

Fokus yang indah. Fokus orang sekeliling anda. Mereka perlukan anda sebagaimana sama ada anda sedar atau tidak, anda perlukan mereka. Baik yang baik atau buruk. Baik rezeki anda. Buruk ujian anda. Mereka yang terbaik untuk anda. Allah takdirkan.

Allah beri kita apa yang kita perlu. Bukan apa yang kita nak.
Jangan banyak komplen.

Fokus yang indah.
Layan bukansepet, layan.

gravatar

sejuk hati membaca nie...

gravatar

Terima kasih, sudi baca, sudi komen.